Sunday, April 19, 2009

Kecantikan wanita.

Dalam keghairahan wanita menonjolkan kecantikan mereka, mereka sebenarnya telah menyeksa batin seorang lelaki yang memang nafsunya yang satu itu pada wanita.

Setelah saya mengenali tarbiyah dan jalan dakwah, saya mula memahami bahawa ikatan hati kita adalah berdasarkan ikatan aqidah. Ternyata di dunia ini lebih ramai wanita yang kurang cantik berbanding yang cantik. Namun apabila telah terikatnya hubungan aqidah itu, seolah-olah pandangan fizikal kita pada sahabat kita itu telah terangkat, malah kita mula melihat dia dengan pandangan mata hati kita. Kita mula melihat ‘kecantikan’ akhlak, peribadi dan ketaatan kepada Allah. Itulah yang menyejukkan hati kita.

Apalah ada pada wajah yang cantik, jika kecantikan itu didagangkan, diperlihatkan kepada umat dunia dan sibuk diperkatakan oleh lelaki-lelaki yang tidak soleh?

Peliknya ramai perempuan di dunia ini sangat suka jika dia mempunyai ramai peminat lelaki dan sering menjadi perbualan teruna-teruna yang mahu mengambil kesempatan atasnya.

Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!” (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya atau pandang lama-lama.

Islam mengangkat wanita itu daripada menjadi perkara yang hina di mata lelaki kepada manusia yang mulia.

Rasulullah SAW bersabda:" Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah." (Hadis Riwayat Muslim)

Sebab itu kita harus menilai kecantikan itu bukan pada zahiriyahnya tapi pada maknawiyahnya. Isi hati yang baik, akan memancarkan peribadi yang baik dan bercahaya. Fizikal yang kurang cantik itu akan menjadi menawan jika keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah adalah kuat.

Jika kita tidak selalu cemburu orang lebih cantik dari kita, kita takkan berusaha sangat nak jadi cantik. Tapi jika kita cemburu kawan kita itu lebih taat pada Allah, maka kita akan berusaha untuk lebih dekat dengan Allah.

Jika kita sayang pada sahabat kita bukan kerana wajahnya, tetapi kita sayangkan dia kerana Allah, maka jika muka dia buruk ke, ada parut ke, ada jerawat ke, kita tetap sayangkan dia. Dan paling penting kita akan dapat merasai kemanisan iman itu.

Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Barangsiapa yang terdapat padanya tiga perkara, maka dia akan merasakan kemanisan iman. Yang tiga perkara itu ialah :
1. Mencintai Allah dan Rasulnya, melebihi cintanya dari yang lain
2. Mencintai manusia berdasarkan cinta kepada Allah semata-mata.
3. Benci untuk kembali kepada kekufuran, seperti orang yang benci kalau dilemparkan ke dalam api”.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home