Hasad dan Dengki.
Telah menjadi sunnatullah, setiap manusia dicipta mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ada manusia yang disaluti kemewahan, yang mendapat nikmat dan kesenangan. Ada pula yang hidupnya sederhana dan ada pula yang hidupnya hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang . Begitu juga, ada yang bijak akal fikirannya dan ada pula yang sederhana saja. Kesemuanya ini telah menjadi qadha Allah dan ketentuanNya dalam melebihkan dan mengurangkan anugerah nikmatNya terhadap hamba-hambaNya kerana Dia yang lebih mengetahui apa yang baik untuk hambaNya.
Dalam memelihara keimanan dan tingkah laku kita sebagai seorang Muslim, sepatutnya kita berasa senang dengan kesenangan dan kelebihan yang diperolehi oleh saudara kita yang lain. Tetapi, apa yang sering kita lihat, sejak dari zaman Nabi Adam lagi hingga sekarang ini, sifat iri hati dan hasad dengki seolah-olah menjadi darah daging dalam jiwa manusia. Sifat yang keji ini, jika tidak dirawati, lama kelamaan akan membawa padah yang amat buruk pada diri manusia itu sendiri dan pada masyarakat sekelilingnya. Allah s..w.t telah menjelaskan kenyataan ini melalui firmanNya di dalam surah Ali-Imran, ayat 120, yang berbunyi:
إِنْ تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِنْ تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لاَ يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ
Yang bermaksud: Apabila kamu mendapat kebaikan, nescaya mereka akan merasa kurang senang, tetapi apabila kamu mendapat kejelekan, maka mereka pun merasa gembira ria kerananya.
Ketahuilah, saudara-saudara sekelian, sesungguhnya salah satu dari tanda-tanda Muslim yang hakiki ialah kesucian jiwanya dari sifat khianat dan hasad dengki serta tipu daya. Kesucian jiwa ini dapat membawa diri seseorang itu ke syurga Allah yang kekal nikmatnya. Walau sekali pun seseorang itu bukan dari ahli ibadat, yang banyak amal ibadatnya, yang selalu bangun malam untuk melakukan solat, yang banyak berpuasa sunat, yang banyak bersedekah, tetapi seandainya dia dapat memelihara jiwanya dari sifat-sifat yang keji, ianya dapat menyelamatkan diri seseorang itu dari merasa bahang api neraka, apa lagi merasa siksaannya. Sebaliknya, jika seseorang itu rajin beribadat, pada waktu malam dia mengerjakan solat, pda waktu siang dia berpuasa, tetapi jika dalam hatinya dalam sifat-sifat yang keji maka berkemungkinan dia akan
mengakhiri hidupnya dengan suul khatimah, wa ‘iyazubillah.
Mengapa tidak kita mencontohi para sahabat Rasulullah s.a.w. yang sedikit pun tidak merasa hasad dan dengki dengan kesenangan dan nikmat yang dikecapi oleh saudaranya yang lain, walau sekalipun kehidupan mereka ada yang terlalu miskin, tetapi dada mereka sentiasa lapang, tidak pernah sempit dengan sifat iri hati terhadap kesenangan orang lain. Sifat mereka yang mulia ini, telah mendapat kepujian dari Allah s.w.t. melalui firmanNya di dalam surah Al-Hasyr, ayat 9:
وَلا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا
Yang bermaksud: Mereka tiada meletakkan sesuatu keinginan di dalam dada-dada mereka daripada nikmat yang dikecap oleh orang lain.
Begitulah mulianya sifat para sahabat dimana mereka mampu memelihara diri mereka dari bersikap hasad dengki terhadap orang lain. Berlainan halnya jika seseorang itu mengharapkan nikmat yang sama, yang ada pada orang lain dan tidak pula ia bercita-cita melenyapkan nikmat itu dari orang tersebut serta tidak pula membencinya kerana nikmat yang diperolehinya itu, maka, tidak menjadi salah sekiranya dia mengharapkan nikmat yang sama. Sebaliknya ia berusaha dan berlumba-lumba untuk mencapainya. Hal ini jelas disebut di dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:
لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِى اثْنَتَيْنِ : رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِى الْحَقِّ ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ عِلْمًا فَهُوَ يَعْمَلُ بِهِ وَيُعَلِّمُهُ النَّاسَ
Ertinya: Tiada hasad (yakni dibenarkan berhasad), melainkan dalam dua perkara sahaja, iaitu: Seseorang yang dikurniai Allah harta yang banyak, lalu ia menaburkan harta itu dalam perkara-perkara yang hak dan benar, sehinggalah hartanya habis. Dan seseorang lagi dikurniai Allah
dengan ilmu pula, lalu ia mengamalkan ilmu itu serta mengajarkannya juga kepada orang ramai.
Dalam hal yang seperti ini, kita tidak dilarang jika berhasad demi untuk mendapat kebaikan di sisi Allah, malah adakalanya dituntut oleh syara’.
Firman Allah di dalam surah Al-Hadid, ayat 21:
سَابِقُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا كَعَرْضِ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ أُعِدَّتْ لِلَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
Yang bermaksud: Berlumba-lumbalah kamu sekelian untuik mendapatkan keampunan Tuhan Mu.
Hasad dan dengki adalah seperti obor api yang sedang membakar dan menghancurkan masyarakat sedikit demi sedikit. Hasad dan dengki lahir dari persaan cinta pada dunia dan lupa akan kebesaran Allah. Hasad dan dengki tidak kenal pertalian keluarga. Berapa banyak keluarga yang runtuh kerana sifat hasad dan dengki di antara ahli keluarga tersebut. Seorang yang mendapat bahagian yang lebih dari harta pusaka, maka mereka yang mendapat kurang dari bahagian tersebut akan timbul perasaan hasad dan dengki dalam jiwa mereka. Tidakkan mereka sedar bahawa manusia hakikatnya tidak memiliki apa-apa. Hatta jantung yang berdegup dalam dada kita bukanlah milik kita.
Bolehkan kita menentukan jantung tersebut bagaimana ia hendak berdegup? Bolehkan kita memastikan bahawa jantung tersebut akan sentiasa berdegup?
Tidak! Kita tidak mampu. Maka milik siapakah jantung tersebut? Adakah milik kita atau milik Allah? Jika jantung yang begitu rapat dengan diri kita tidak dapat kita miliki dan kuasai, apatah lagi segala benda yang wujud disekililing kita. Kesemuanya adalah milik Allah. Allah menentukan
siapa yang berhak merasai nikmat benda-benda tersebut. Adakah kita ingin merasa hasad dan dengki terhadap kelebihan nikmat yang ada pada orang lain? Jika betul kita ada perasaan hasad dan dengki tersebut, maka ketahuilah bahawa sebenarnya kita merasa merasa hasad dan dengki
terhadap yang empunya nikmat tersebut. Siapakan empunya nikmat tersebut? Ia adalah Allah s.w.t, Tuhan pencipta segala sesuatu. Adakah dosa yang lebih besar dari mempunyai perasaan hasad dan dengki terhadap Allah, Tuhan Pencipta alam? Adakah kebodohan yang lebih besar
dari mempunyai perasaan hasad dan dengki terhadap Allah, Tuhan Pencipta alam?
Allah s.w.t berfirman dalam surah As-Syuraa, ayat 27:
وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الأَرْضِ وَلَكِن يُّنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ
Ertinya: Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambanya tentulah mereka akan melapaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dihendakiNya dengan kadar yang tertentu. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui keadaan hamba-hambanya lagi Maha Melihat.
Labels: Article
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home